Tuesday 29 October 2013

Kes kematian di stesen LRT Wangsa Maju

7 lelaki ditahan kes kematian pelajar Chad

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Polis menganggap kes seorang pelajar warga Chad, Afrika yang maut setelah dibelasah dan ditikam di stesen LRT Wangsa Maju pada 21 September lalu selesai, selepas tujuh suspek lelaki ditangkap baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 28 tahun diberkas secara berasingan iaitu tiga ditangkap di sekitar kawasan Lembah Keramat dan Taman Bunga Raya Setapak pada 22 September lalu.
Tambah beliau, susulan daripada itu dua lagi suspek diberkas di Desa Setapak pada keesokan harinya manakala dua lagi termasuk suspek utama ditahan di tempat yang sama semalam.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.
"Hasil bedah siasat mangsa juga cedera ditikam pada rusuk belakang kanan badannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, mangsa, Abdel Aziz Hassan Abdraman, 22, bersama dua lagi rakannya dikatakan bertengkar dengan sekumpulan lelaki setelah berlaku sedikit perselisihan faham ketika berada dalam tren tersebut.
Sebaik sahaja turun daripada tren di stesen Wangsa Maju, ketiga-tiga pelajar warga asing itu dibelasah oleh kumpulan terbabit sehingga mengakibatkan Abdel Aziz cedera parah dan disahkan meninggal dunia setelah mendapat rawatan kira-kira sejam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Seorang lagi mangsa berusia 21 tahun juga cedera parah dan dirawat di hospital yang sama tetapi keadaannya dilaporkan stabil manakala seorang lagi rakan mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Zakaria, kesemua suspek yang ditahan masih belajar di sebuah kolej dan seorang daripadanya menganggur.
Katanya, mereka kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm#ixzz2jBcIXwEz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment