Tuesday 8 October 2013

Masalah bekalan air


KOTA BHARU 15 Mei - Masalah bekalan air bersih terus menghantui rakyat Kelantan apabila lebih 500 penduduk Kampung Tualang, Kubang Kerian di sini menyatakan kekesalan mereka kerana tidak pernah mendapat bekalan sumber asas itu sejak lebih 10 tahun lalu.
Susulan itu, penduduk kampung terpaksa menggunakan air telaga yang agak kotor serta berkelodak dan keadaan itu terpaksa dihadapi oleh mereka walaupun keadaan sumber air tersebut jelas tidak terjamin kualitinya.
Keadaan tersebut sekali gus memaksa mereka mengeluarkan duit poket untuk membeli bekalan air bersih yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung itu, malah ada yang mengaku terpaksa menadah air hujan untuk mandi.
Seorang penduduk, Maimun Ghazi, 49, berkata, rayuan telah dibuat kepada pihak berwajib namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga hari ini.
"Bekalan air yang saya guna selama ini cukup menyedihkan kerana airnya yang kuning serta berkelodak jelas tidak sesuai digunakan untuk minum serta memasak.
"Saya terpaksa menggali sehingga tiga buah perigi menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan bekalan air yang bersih namun keadaan air tetap sama," katanya ketika ditemui di Kampung Tualang di sini hari ini.
Masalah yang sama turut dialami oleh Kamarudin Awang Kecil, 26, yang terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
"Keadaan air yang kotor bukan sahaja tidak dapat digunakan malah mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk di kampung ini terutamanya kanak-kanak.
"Saya memohon pihak berkuasa tampil menyelesaikan masalah ini kerana apa yang penting adalah penduduk kampung di sini dapat menikmati bekalan air bersih," katanya.
Seorang pesara, Mat Nawi Dollah, 54, meminta pihak berwajib supaya mempercepatkan penyambungan bekalan air bersih bagi memberi keselesaan kepada penduduk kampung.
"Kampung ini masih tidak menerima bekalan air bersih walaupun kawasan serta daerah yang berhampiran sudah lama mendapat bekalan air bersih.
"Aduan sudah dibuat namun masih tiada jalan penyelesaian sehingga hari ini," katanya yang terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM60 sebulan untuk membeli air bersih.
Seorang warga emas, Aminah Deraman,73, meluahkan rasa sedih kerana selama ini hanya bergantung kepada sumber air mentah yang tidak bersih.
"Saya tinggal di kampung ini sejak mula dibuka dan kami tidak pernah merasai air bersih. Kasihanilah penduduk kampung," katanya.

No comments:

Post a Comment